WANITA DAN TANAH

Kepentingan tanah

Tanah membekalkan keperluan hidup seperti makanan, hutan dan tempat berlindung khususnya bagi masyarakat luar bandar dan Orang Asal (termasuk Orang Asli Semenanjung Malaysia, Anak Negeri Sabah dan Dayak dan Orang Ulu Sarawak). Tanah juga membekalkan makanan ternakan bagi kegunaan manusia. Kebanyakan masyarakat yang menjalankan pertanian sara diri, berburu dan memungut hasil hutan bagi kehidupan telah bergantung kepada tanah dan hutan sejak turun temurun. Terutamanya Orang Asal, mereka mempunyai hubungan yang rapat dan suci dengan tanah. Jalinan ini tidak mudah difahami oleh orang lain kerana pengertian tanah bagi Orang Asal bukan setakat kawasan semula jadi untuk tempat tinggal atau sempadan politik, tetapi adalah asas bagi kehidupan sosial, ekonomi dan identiti budaya mereka.

Tanah juga penting bagi peneroka bandar dan pekerja ladang/estet. Tanah membekalkan tempat tinggal bagi peneroka bandar di Lembah Kelang, misalnya, yang telah bertungkus lumus menerokai kawasan di pinggiran bandaraya dan mendirikan rumah-rumah untuk keluarga masing-masing dan generasi akan datang. Manakala bagi pekerja ladang/estet pula, tanah merupakan tempat mencari rezeki sebagai buruh kasar.

Pada amnya, tanah adalah penting bagi kedua-dua wanita dan lelaki. Dengan adanya tanah, sesebuah masyarakat dapat meneruskan cara kehidupan, memperolehi makanan, tempat tinggal, menangani kemiskinan dan mendapat kredit, atau sebaliknya. Terdapat pelbagai faktor yang membatasi pemilikan terhadap tanah oleh kaum wanita, misalnya anggapan bahawa lelaki adalah ketua keluarga maka hak milik tanah diberikan kepada mereka. Kemudahan pemilikan terhadap tanah dan milikan tanah oleh kaum wanita akan meninggikan taraf hidup kaum wanita khususnya dan mewujudkan masyarakat yang lebih sama rata antara lelaki dan wanita amnya.

Masyarakat Terpinggir Dan Pemilikan Terhadap Tanah

Dalam masyarakat kini yang mengutamakan wang, tanah dianggap sebagai barangan yang boleh dijualbeli. Terutamanya apabila tanah menjadi semakin berkurangan dan bernilai, pengambilan tanah kepunyaan masyarakat terpinggir seperti peneroka bandar, penduduk luar bandar dan Orang Asal oleh kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri semakin menjadi-jadi. Pengambilan tanah disokong oleh kuasa undang-undang dan dasar tanah yang hanya mengiktiraf hak milik tanah melalui geran tanah. Pengeluaran geran tanah adalah peninggalan kuasa penjajah yang mewajibkan kesemua tanah didaftarkan dan diberikan geran. Sebarang tanah yang tiada geran dianggap sebagai tanah kerajaan.

Keadaan ini berlainan dari undang-undang adat yang mengiktiraf dan menghormati hak tanah orang kampung atau masyarakat selagi tanah itu diduduki dan dikerjakan oleh mereka, atau dibiarkan kosong untuk memelihara kesuburan tanah, tanpa perlu adanya dokumen bertulis. Jadi hak ke atas tanah kepunyaan masyarakat luar bandar dan Orang Asal yang tiada geran tanah atau permohonan mereka ditolak dan belum dibalas kini tergugat. Mereka bila-bila sahaja boleh diusir dari tanah yang sedang diduduki atau tanah adat yang diwariskan dari nenek moyang.

Sebagai contoh, kerajaan pusat dan negeri boleh membatalkan hak ke atas tanah adat Orang Asal, walaupun pengiktirafan hak ini terkandung dalam Akta Orang Asli, Kanun Tanah Sabah dan Kanun Tanah Sarawak 1958. Bagi peneroka bandar, kerajaan boleh menggunakan Kanun Tanah Persekutuan dan Akta Pengambilan Tanah untuk mendakwa mereka sebagai 'setinggan' yang menduduki tanah kerajaan atau swasta secara haram dan harus diusirkan. Begitu juga pekerja ladang/estet yang kehilangan tempat tinggal dan pekerjaan apabila pihak pengurusan menjual ladang/estet berkenaan kepada syarikat lain. Janji-janji pihak pengurusan seperti persediaan perumahan baru dan kebajikan pemberhentian pekerjaan tidak ditunaikan, begitu juga pampasan setimpal yang dijanjikan. Pekerja-pekerja ladang/estet yang sudah dijual itu dibiarkan dalam keadaan terdesak.

Faktor-Faktor Yang Menjejaskan Hak Dan Pemilikan Terhadap Tanah Oleh Wanita

Kaum wanita khususnya daripada masyarakat terpinggir menghadapi berbagai cabaran yang berkaitan dengan jantina mereka. Apabila masyarakat mereka diancam oleh pengambilan tanah oleh kerajaan, kaum wanita juga terancam oleh perampasan tanah mereka dan pengusiran secara paksa serta akibatnya. Di samping itu, hak tanah kaum wanita terancam oleh pemikiran dan pendirian pihak berkuasa yang mendiskriminasi mereka. Sekiranya wanita kehilangan hak tanah, mereka bukan sahaja kehilangan sumber ekonomi tetapi juga kehilangan budaya, pengetahuan, identiti dan asal-usul mereka.

Pemilikan terhadap tanah oleh wanita adalah melalui pelbagai cara, misalnya, warisan, hak milik bersama keluarga, hak ke atas tanah adat dan perkahwinan. Bagaimanapun, desakan kerajaan supaya pemilik tanah membuktikan hak milik mereka melalui dokumen rasmi telah menjejaskan pemilikan terhadap tanah oleh wanita.

Sebelumnya, masyarakat luar bandar dan Orang Asal adalah lebih saksama dalam pengagihan dan pemilikan terhadap tanah. Tanah adalah kepunyaan masyarakat/kampung dan setiap lelaki dan wanita sama-sama berhak ke atas tanah itu. Bagaimanapun, penswastaan tanah dan pemberian geran tanah telah menjejaskan kedudukan wanita kerana, pihak berkuasa hanya mengiktiraf lelaki sebagai ketua keluarga dan seterusnya mengeluarkan geran tanah atas nama mereka. Tambahan lagi, tanah masakini dianggap sebagai barang dagangan di mana kawalan berada di dalam tangan pihak kerajaan dan agensi swasta.

Antara projek-projek ‘Pembangunan tanah' utama yang menjejaskan hak dan pemilikan terhadap tanah oleh masyarakat dan wanita adalah pertanian perladangan, penswastaan tanah melalui milikan syarikat besar dan jualbeli tanah di kalangan syarikat-syarikat swasta dan pengurusan ladang/estet.

Di Sarawak, ramai pemilik persendirian telah kehilangan hak milik tanah akibat penswastaan tanah adat Orang Asal khususnya untuk pembukaan ladang besar-besaran. Di bawah dasar "Konsep Baru" pembangunan tanah kerajaan Negeri Sarawak, setiap tanah hak adat dicantumkan menjadi satu blok besar dan diberi geran dengan tempoh pajakan bagi 60 tahun. Pembangunan tanah tersebut diserahkan kepada sebuah syarikat usahasama terutamanya untuk membuka ladang kelapa sawit yang besar.

Kaum wanita di ladang/estet juga mengalami kesusahan mencari makanan atau pendapatan apabila kehilangan hak dan pemilikan terhadap tanah akibat pembangunan pesat dan perindustrian. Projek perumahan, tapak perkilangan dan pembangunan perbandaran telah menaikkan permintaan untuk tanah, yang mendorong pihak pengurusan ladang/estet untuk menjualnya. Akibatnya, pekerja ladang/estet kehilangan tempat tinggal dan pekerjaan mereka. Wanita yang kehilangan kerja kebanyakannya tidak berpelajaran dan kekurangan kemahiran untuk memudahkan mereka bersaing dalam pasaran pekerjaan. Kebanyakan mereka akhirnya menjadi buruh kasar yang bergaji rendah.

Kesan Kehilangan Tanah Ke Atas Kaum Wanita

Jadi, kaum wanita berada dalam keadaan di mana hak dan pemilikan terhadap tanah mereka semakin merosot atau dihalang. Sekiranya begitu, apakah akibat-akibatnya?

Salah satu akibatnya ialah wanita akan menjadi semakin miskin, terutama mereka daripada luar bandar. Kebanyakan wanita daripada masyarakat terpinggir seperti peneroka bandar, luar bandar dan Orang Asal bergantung kepada tanah untuk menyara hidup mereka. Keengganan kerajaan untuk memberi geran tanah atas nama wanita menambahkan kemiskinan mereka, lebih-lebih lagi ibu tunggal, wanita bujang dan wanita yang sudah bercerai.

Di kalangan Orang Asal, sebarang perubahan dalam persekitaran bukan sahaja menjejaskan sumber asas wanita malahan menjejaskan cara hidup asal, pandangan dunia dan identiti budaya wanita. Oleh itu peranan wanita sebagai pekerja, penjaga, pendidik dan pemegang pengetahuan asal dan pelindung budaya asal semakin berkurangan pentingnya.

Perubahan dalam kegunaan tanah juga menjejaskan hak dan kedudukan wanita. Apabila tanah ladang makanan menukar menjadi estet/perladangan yang besar, wanita kehilangan sumber makanan, bahan api, air dan makanan ternakan. Ada kalanya mereka menjadi buruh dalam skim perladangan, ada kala pula mereka terpaksa mencari pekerjaan di kilang atau di bandar. Peninggalan kampung dan masyarakat untuk mencari pendapatan menjejaskan kehidupan dan kesejahteraan berkeluarga. Wanita pula perlu semakin bergantung kepada orang lain atau kepada pendapatan untuk menyara hidup dan keluarga. Jadi kehilangan hak wanita ke atas tanah ladang makanan menambah kemiskinan wanita.

Di samping itu, keyakinan wanita semakin menurun apabila mendapati hak untuk mengawal hidup sendiri dan sumber kehidupan terancam oleh penafian hak mereka ke atas tanah. Juga, wanita dalam keadaan begitu akan berpendapat diri sendiri tiada berkuasa lagi dan terpaksa bergantung kepada orang lain, atau wanita yang tidak berupaya bekerja atau mencari pendapatan mempunyai sedikit kuasa dalam membuat keputusan. Walaupun ada kes wanita dianiayai atau didera oleh ahli keluarga atau orang lain, mereka tidak bersuara kerana tidak lagi dihormati oleh pasangan atau anggota lelaki dalam keluarga. Dalam masyarakat pula, kebebasan dan 'Kuasa tawar-menawar' wanita semakin merosot menyebabkan mereka menjadi malu atau takut untuk menyuarakan keperluan dan kehendak mereka atau menegakkan hak sendiri.

Tindakan:

  1. Mengiktirafkan dan melindungi hak adat Orang Asal ke atas tanah adat mereka.
  2. Memansuhkan atau meminda fasa-fasa dalam undang-undang tanah dan hutan yang bercanggah dengan adat asal Orang Asal seMalaysia.
  3. Memansuhkan atau meminda fasa-fasa dalam undang-undang yang mencabuli hak peneroka bandar dan pekerja ladang/estet, terutamanya Akta Pengambilan Tanah 1990, Ordinan Darurat 1969, Public Order & Prevention of Crime Ordinance (POPO) dan Akta Pengambilan Tanah 1985 (pindaan).
  4. Menyeru agar kerajaan mengambil langkah-langkah yang tegas untuk mengawas dan melaraskan aktiviti-aktiviti agensi kerajaan dan swasta yang mencerobohi tanah, sumber-sumber dan hak perumahan masyarakat terpinggir. Kerajaan-kerajaan pusat dan negeri serta syarikat swasta harus bertanggungjawab atas kemusnahan tanah, perumahan dan hutan, serta memberi pampasan yang adil kepada masyarakat tempatan untuk kerugian yang dialami.
  5. Mengiktiraf kepentingan melibatkan masyarakat tempatan dan Orang Asal, khususnya pemilik tanah persendirian dalam membuat keputusan tentang penswastaan tanah dan pembukaan projek perladangan secara besar-besaran.
  6. Memberhentikan dengan segera pengusiran secara paksa peneroka bandar dan kemusnahan rumah dan harta benda mereka. Dalam memajukan pembangunan perbandaran, harus menjamin bahawa peneroka bandar diberi gantian tanah dan rumah atas tapak asal atau berdekatan.
  7. Memperkenalkan konsep 'Perkongsian tanah' bagi peneroka bandar dan pekerja ladang/estet.

 

return.jpg (1778 bytes)   Laman utama