WANITA DAN UNDANG-UNDANG

Perlembagaan Persekutuan memberi peruntukan bahawa semua manusia adalah sama di sisi undang-undang; namun begitu perkara 8(2) tidak mengiktiraf bahawa seks tidak boleh dijadikan asas diskriminasi.

Walaupun demikian, dari segi dasarnya, kerajaan Malaysia dengan rasminya telah memberikan komitmen bahawa wanita dan lelaki itu sama tarafnya sebagaimana yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Keenam, Dasar Kebangsaan Wanita 1989, Rancangan Tindakan Wanita dan Pembangunan 1997, ratifikasi Konvensyen PBB tentang Penghapusan Diskriminasi Ke atas Wanita 1995 (PDKW) dan penerimaan Perisytiharan Beijing Muktamar Sedunia tentang Wanita dan Dasar Tindakan. PDKW yang menjamin hak-hak kemanusian wanita berdasarkan prinsip persamaan antara wanita dan lelaki. Justeru itu, kerajaan Malaysia bertanggungjawab sekiranya hak-hak wanita dinafikan oleh sesiapa di Malaysia.

Selama berpuluh-puluh tahun pertubuhan-pertubuhan wanita telah berkempen untuk meminda undang-undang yang mendiskriminasi wanita. Pada tahun 1985, dengan inisiatif beberapa pertubuhan wanita, National Council of Women's Organisation (NCWO) telah mengemukakan satu memorandum kepada kerajaan memohon supaya beberapa undang-undang yang mendiskriminasi dipinda, seperti: Akta Penjagaan Kanak-kanak 1961, Akta Pembahagian Harta Pusaka 1958, Akta Pekerjaan 1955, Akta Cukai Pendapatan, Akta Keselamatan Sosial Pekerja, Ordinan Imigresyen 1959 dan undang-undang berkaitan dengan rogol. Tiga belas tahun kemudian, hanya Akta Pembahagian Harta Pusaka , Akta Cukai Pendapatan dan undang-undang berkaitan dengan rogol sahaja yang telah dipinda. Akta Penjagaan Kanak-kanak akan dipinda tidak lama lagi untuk memberikan wanita hak penjagaan yang sama. Ini bermakna, reformasi undang-undang yang lainnya belum lagi dilaksanakan.

Dalam bidang undang-undang Syariah, pertubuhan-pertubuhan wanita telah mengemukakan tiga memorandum utama kepada kerajaan untuk mereformasikan undang-undang keluarga Islam, undang-undang jenayah Syariah dan juga pentadbiran sistem pengadilan Syariah bagi menjamin kesaksamaan dan keadilan bagi semua pihak, iaitu wanita dan juga lelaki.

Undang-undang Mendiskriminasi Wanita

Diskriminasi yang terdapat dalam undang-undang sivil dan Syariah gagal menepati keperluan-keperluan wanita, dan juga ianya tidak mencerminkan penceburan serta sumbangan wanita terhadap masyarakat dan ekonomi negara. Contohnya, Ordinan Imigresyen tidak memberikan hak kerakyatan kepada suami asing wanita Malaysia, manakala isteri asing lelaki Malaysia boleh diberikan kerakyatan. Walaupun begitu, isteri-isteri asing lelaki Malaysia itu masih juga terdedah kepada diskriminasi, kerana hak-hak kewarganegaraan mereka tertakluk kepada budibicara suami-suami mereka. Maka itu dalam kes-kes keganasan rumahtangga, penceraian atau pengabaian isteri, isteri-isteri asing boleh diisytiharkan sebagai penduduk haram di bawah undang-undang imigresyen sekiranya suami mereka tidak memohon status yang sah untuk tinggal di negara ini.

Manakala beberapa undang-undang yang lain pula perlu dipinda lagi untuk mencapai hak-hak yang sama, seperti Akta Cukai Pendapatan. Walaupun ianya telah dipinda supaya taksiran berasingan antara suami dan isteri boleh dilakukan, namun masih terdapat diskriminasi di dalamnya. Ini kerana pihak isteri tidak dibenarkan menolak dari cukainya bagi membiayai suami yang tidak bekerja atau yang bekerja di rumah atau untuk menyara anak-anak mereka. Ini disebabkan bahawa peruntukan pembiayaan anak-anak hanya diperuntukkan kepada pendapatan suami sahaja.

Kempen gigih untuk Akta Keganasan Rumahtangga akhirnya telah berjaya digubal pada tahun 1994, dan telah terlaksana dua tahun kemudiannya. Namun begitu, kerana ianya tertakluk kepada Kanun Keseksaan, maka itu pelbagai masalah perlu pula dihadapi oleh mangsa-mangsa keganasan rumahtangga untuk mendapatkan perlindungan. Antara masalah-masalah ini ialah rintangan birokrasi dan diskriminasi gender. Dengan itu kumpulan-kumpulan wanita merasa wajar untuk menyampaikan memorandum kepada kerajaan agar beberapa pindaan dapat dibuat pada akta tersebut untuk mengemaskan peraturan dan prosedur supaya perlindungan yang secukupnya dengan cepat dan mudah dapat diberikan kepada pihak mangsa.

Dalam bidang undang-undang Syariah pula, wanita Islam mengalami kesulitan untuk mendapatkan penyelesaian dalam kes-kes penceraian, poligami, penjagaan, nafkah dan hak-hak harta benda. Masalah wujud pada dua bidang utama: masalah pemahaman dan pentafsiran Syariah itu sendiri dan ketidakselarasan undang-undang keluarga antara negeri-negeri di Malaysia yang mendorong ke arah peruntukan undang-undang dan standard perlaksanaan yang berbeza-beza. Maka itu, halangan poligami dalam sesuatu negeri boleh diatasi dengan menikah di negeri yang lain yang mempunyai syarat yang longgar mengenainya. Pegawai yang mentadbir dan melaksanakan undang-undang itu lazimnya prejudis terhadap wanita kerana kepercayaan peribadi mereka bahawa wanita dan lelaki tidaklah setaraf di dalam Islam. Oleh itu, walaupun undang-undang mungkin memberikan wanita hak-hak yang sama, namun perlaksanaannya adalah selalunya berat sebelah dan mendiskriminasi wanita.

Selain itu, dwisistem perundangan iaitu sistem mahkamah sivil dan sistem mahkamah Syariah, telah membuatkan bidang kuasa mereka berlapis-lapis dan kadangkalanya berkonflik. Antara konflik undang-undang sivil dengan undang-undang Syariah ialah di bidang hukum keluarga dan jenayah, yang telah menyebabkan kesukaran kepada wanita serta mendedahkan pihak wanita kepada kelemahan. Contohnya, ada undang-undang yang telah digubal tetapi tidak diselaraskan untuk kedua-dua sistem ini untuk manfaat wanita Islam dan bukan Islam. Insiden baru-baru ini ialah keputusan kerajaan untuk meminda Akta Penjagaan bagi memberikan hak penjagaan yang sama kepada wanita bukan Islam, tetapi tiada usaha yang serupa untuk memberikan hak yang sama kepada wanita Islam yang tertakluk di bawah undang-undang keluarga Islam. Bidang kuasa yang berlapis juga membawa kepada konflik dan kerumitan apabila salah seorang dari pasangan suami isteri itu memeluk agama Islam, kerana ia memberikan kesan terhadap hal-hal penjagaan, nafkah anak-anak dan hak harta benda. Dalam bidang jenayah pula seperti dalam kes rogol bawah umur, perlindungan kanak-kanak di bawah Kanun Keseksaan bertentangan dengan peruntukan undang-undang Syariah negeri yang menuntut bahawa kanak-kanak yang sama boleh didakwa kerana hubungan seks haram atau mengandung di luar nikah.

Manakala undang-undang dan dasar yang adil perlu digubal, perlu juga usaha-usaha bersepadu dilakukan untuk mendidik wanita akan hak-hak mereka, serta memupuk peluang supaya mereka mudah untuk mendapatkan hak-hak itu. Terlalu lazim bahawa norma masyarakat, amalan budaya dan prasangka melanggar hak undang-undang yang telah diperuntukkan untuk wanita. Fenomena berat sebelah berdasarkan jantina dalam keputusan kes-kes mahkamah sivil dan juga Syariah melanjutkan lagi ketidakadilan yang dihadapi oleh wanita.

Tindakan:

  1. Laksanakan dengan sepenuhnya Dasar Kebangsaan Wanita, PDKW dan Dasar Tindakan Beijing, serta meminda perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan untuk mengiktiraf bahawa seks tidak boleh dijadikan asas diskriminasi.
  2. Kaji semula serta pinda semua undang-undang sivil dan Syariah, termasuk prosedur-prosedur yang mendiskriminasi wanita, setelah bermusyawarah secara terbuka dan telus dengan pertubuhan-pertubuhan wanita, dan berasaskan kepada beberapa memorandum yang telah dikemukakan oleh pertubuhan-pertubuhan wanita kepada kerajaan.
  3. Pinda Undang-undang Keluarga Islam yang mendiskriminasi wanita, supaya ianya benar-benar berlandaskan kepada prinsip-prinsip kesaksamaan, keadilan, kemerdekaan dan ketatasusilaan sebagaimana yang terdapat di dalam Al-Quran.
  4. Selaraskan semua Undang-undang Keluarga Islam bagi semua negeri dan selesaikan konflik bidang kuasa antara undang-undang sivil dengan undang-undang Syariah.
  5. Wujudkan Mahkamah Keluarga untuk menangani kes-kes keluarga Islam dan bukan Islam. Lantik hakim-hakim wanita ke mahkamah Syariah.
  6. Berikan kemudahan latihan peka gender untuk semua pegawai perundangan, hakim dan penguatkuasa yang memberi khidmat kepada wanita.

 

return.jpg (1778 bytes)   Laman utama